kajian meningkatkan kemahiran asas membaca teks arab melalui

94 downloads 223 Views 514KB Size Report
mengulangi kalimah Iqra beberapa kali sehinggalah Nabi Muhammad dapat .... zarf, fungsi kedua-dua partikel dan cara membaca kosa kata selepas kedua-dua  ...
Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR’12) • disunting oleh: Mohd Shukari Hamzah, Khazri Osman, Moktar Hussain, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Salamiah Ab. Ghani, Hakim Zainal & Zainuddin Ismail • © Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi • ISBN 978-9675478-49-9 • http://www.ukm.my/uba/sebar2012/prosiding.htm

KAJIAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN ASAS MEMBACA TEKS ARAB MELALUI KEMAHIRAN MEMBACA AL-QUR’AN DAN KAEDAH LATIH TUBI Nur Syazwina Mustapa, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Salamiah Ab. Ghani, Ummu Hani Hashim, Zuraida Shaadon [email protected] Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak: Kemahiran membaca atau sinonim disebut Maharat al-Qiraah dalam bahasa Arab merupakan salah satu kemahiran bahasa yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh pelajar dan bagi sesiapa sahaja yang berminat mempelajari bahasa Arab, sebagaimana bahasa Inggeris dan bahasa asing atau bahasa kedua yang lain. Akan tetapi, membaca teks Arab tidaklah sama dengan membaca teks bahasa Melayu kerana dalam membaca teks berbahasa Melayu perkataan dibunyikan berdasarkan kepada ejaan suku kata, berbanding dengan teks bahasa Arab yang memerlukan pelajar mengetahui, memahami dan menguasai nahu dan sarf terlebih dahulu. Di sinilah kelemahan dan masalah utama yang dihadapi pelajar, iaitu mereka tidak mampu mempraktikkan kefahaman nahu dan sarf yang dimiliki ketika membaca teks bahasa Arab ditambah lagi dengan tidak memahami maksud perkataan kerana kurangnya perbendaharaan kata bahasa Arab. Oleh yang demikian itu, satu kajian melibatkan 44 orang respon yang terdiri daripada para pelajar yang mengambil subjek Maharat al-Qiraah di Fakulti Pengajian Islam, UKM telah dijalankan bertujuan meningkatkan kemahiran asas membaca teks Arab melalui pendekatan membaca Al-Qur‟an dan latih tubi. Kajian ini dijalankan bertujuan membimbing pelajar untuk mengenalpasti kaedah-kaedah nahu dan sarf yang terdapat pada ayat-ayat Al-Quran. Kajian ini memfokuskan kepada kemahiran pengukuhan membaca Kosa Kata Nama selepas al-jarr dan al-zarf wa mudaf ilayh dalam AlQuran. Kebiasaannya pelajar hanya membaca Al-Quran tanpa menghiraukan mengapa ia perlu dibaca dengan baris al-fathah, al-dammah, al-kasrah dan al-sukun. Kajian ini cuba untuk menarik minat dan perhatian pelajar agar melihat dan mengenal pasti tanda bacaan setiap ayat Al-Quran yang dibaca berdasarkan kefahaman yang dimiliki dan seterusnya mengaplikasikannya untuk membaca teks bahasa Arab dengan bacaan yang betul. Susulan kajian adalah pelaksanaan latihan latih tubi bertujuan memantapkan penguasaan pelajar membaca teks bahasa Arab dengan baris yang betul.

PENGENALAN Kajian ini merupakan rumusan kepada kajian tindakan yang bertajuk “Pengukuhan membaca kosa kata nama selepas al-jarr dan al-zarf dalam teks Arab melalui bacaan Al-Qur‟an”. Kajian ini dilakukan ke atas lima kumpulan pelajar yang dipilih daripada pelajar Maharat al236

Qiraah. Lima kumpulan ini dijadikan sebagai kumpulan rawatan bagi lima orang guru bahasa yang terlibat dalam kajian ini. Bilangan sampel pelajar seramai 44 orang dan bilangan guru seramai lima orang. Rasional kajian tindakan ini adalah berdasarkan pemerhatian pengkaji terhadap kelemahan dan kegagalan pelajar membaca teks Arab dengan baris yang betul. Kesalahan yang begitu ketara dikesan apabila sebahagian besar pelajar masih tidak dapat membaca kosa kata nama selepas al-jarr dan al-zarf dengan betul sedangkan pengetahuan mengenai al-jarr dan al-zarf dan fungsi kedua-duanya sudah ada sejak mereka berada di peringkat sekolah menengah lagi. Sehubungan itu, pengkaji telah mengambil langkah menjalankan pengumpulan data melalui temu bual dan pemerhatian, ujian pra dan ujian pasca bagi mengenalpasti tahap pengetahuan pelajar mengenai perkara ini dan mengenal pasti tahap kemahiran mereka menggunakan pengetahuan yang sedia ada ketika membaca teks Arab. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti adakah kemahiran asas membaca teks Arab dapat ditingkatkan melalui kemahiran membaca Al-Qur‟an dan kaedah latih tubi. Dapatan kajian menunjukkan terdapat peningkatan tahap pengetahuan dan kemahiran yang memuaskan dalam kalangan pelajar setelah kemahiran membaca Al-Qur‟an dan kaedah latih tubi dilaksanakan selama lima minggu. Pengkaji juga mendapati bahawa langkah menekankan kemahiran asas membaca teks Arab dengan pengukuhan membaca kosa kata nama selepas al-jarr dan al-zarf perlu didahulukan sebelum menekankan pembacaan yang betul pada kosa kata nama yang lain seperti mubtada’, khabar dan sebagainya. Hal ini disebabkan kosa kata nama selepas al-jarr dan al-zarf dapat dikenali melalui kehadiran aljarr dan al-zarf dalam ayat berbanding kosa kata nama yang lain hanya dikenali melalui makna dan tanda-tanda yang pelbagai. MATLAMAT PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MAHARAT AL-QIRAAH Kursus ini bertujuan membimbing pelajar memahami kemahiran membaca melalui teks-teks pilihan dengan penekanan kepada kemahiran membariskan petikan, al-Qiraah al-Samitah, alQiraah al-Jahriyah, latihan lisan dan kaedah Imla’ wa al-tarqim. Kemahiran membaca ini disokong oleh kemahiran bahasa dan nahu dengan penekanan kepada Nahu al-wazifi.

REFLEKSI ISU KAJIAN / PERMASALAHAN KAJIAN Tinjauan awal melalui pemerhatian mendapati bahawa kebanyakan pelajar masih salah ketika membaca kosa kata selepas al-jarr dan al-zarf. Kesalahan yang begitu ketara dikesan apabila sebahagian besar pelajar masih tidak dapat membaca kosa kata nama selepas al-jarr dan al237

zarf dengan betul sedangkan pengetahuan mengenai al-jarr dan al-zarf dan fungsi keduaduanya sudah ada sejak mereka berada di peringkat sekolah menengah lagi. Sehubungan itu, pengkaji cuba mengetengahkan satu kaedah pembacaan kosa kata nama selepas al-jarr dan al-zarf yang betul, iaitu melalui kemahiran membaca Al-Qur‟an dan menjalankan kaedah latih tubi menggunakan syahid Al-Qur‟an bagi membantu pelajar meningkatkan tahap penguasaan pembacaan dan pengetahuan terhadap al-jarr dan al-zarf wa mudaf Ilayh. Dari segi perancangan pelaksanaan kaedah ini, satu bengkel khusus, iaitu Bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab telah dijalankan pada 26 Oktober 2011 bagi memperkenalkan AlQur‟an sebagai dalil utama ke arah pengukuhan membaca kosa kata nama selepas al-jarr dan al-zarf. Dalam konteks ini, pengajar memainkan peranan sebagai moderator dalam melatih dan menjalankan beberapa permainan sepanjang bengkel berlangsung. Di samping itu juga, pemantauan berterusan dijalankan selepas berakhirnya bengkel untuk melihat sejauh manakah responden mampu mempraktikkan kemahiran mengenal tanda bacaan kosa kata nama yang betul selepas al-jarr dan al-zarf melalui latih tubi yang dijalankan di dalam kelas berasingan yang dikendalikan oleh 5 orang tenaga pengajar mengikut set masing-masing.

KAJIAN LITERATUR Kemahiran membaca merupakan proses yang dinamik tetapi kompleks. Ia meliputi keupayaan membaca dengan pantas, memahami fakta, kebolehan mengingati fakta serta membuat interpretasi secara bijak dan analisis. Ketika seseorang itu membaca, ia sebenarnya sedang berkomunikasi secara langsung dan sedar dengan bahan bacaannya. Dia mencuba menyelami pemikiran dan idea yang cuba disampaikan oleh pengarang. Seseorang yang berjaya menguasai kemahiran membaca bermakna dia telah berjaya merobohkan sebuah tembok pemisah yang maha besar antara dirinya dengan lautan ilmu yang wujud dalam pelbagai bentuk karya (Zulkifley Hamid, 1994). Penggunaan Al-Qur‟an untuk tujuan mengajar ilmu bahasa Arab terutama Nahu (grammar) itu sendiri telah mendapat perhatian yang utama oleh ahli-ahli nahu sejak zaman berzaman. Bermula daripada Abu Aswad al-Du‟ali yang telah menyahut seruan Saidina Ali K.W dalam meletakkan asas ilmu nahu setelah beliau mendengar adanya lahn (kesalahan daripada segi nahu) dalam pembacaan Al-Qur‟an. Sibaweih (180H) dalam bukunya „al-kitab‟ juga menggunakan dalil ayat-ayat Al-Qur‟an sebagai bukti kepada kaedah-kaedah nahu. Penggunaan dalil daripada ayat-ayat Al-Qur‟an untuk membuktikan ketepatan kaedah nahu dipanggil dengan istilah “syahid Al-Qur‟an”. Syahid Al-Qur‟an yang pertama digunakan oleh 238

Sibawayh di dalam kitabnya adalah ketika membincangkan tentang kalimah iaitu tajuk pertama tentang ilmu nahu. Safiah (1979) menegaskan minat membaca di kalangan pelajar berkait rapat dengan faktor pencapaian. Membaca teks memerlukan cabaran-cabaran intelektual yang berbeza. Dweck (1975) dalam kajiannya membuktikan “student‟s attributions of failure to lack of effort rather than to luck, ability or other variables may alleviate learned helplessness.” Pelajar perlu sedar kekurangan usaha pada dirinya supaya dia dapat memperbaiki kelemahan pada dirinya dalam proses pembelajaran. Dapatan kajian Kathy (1994) membuktikan bahawa kekurangan buku-buku sastera berbentuk rekreasi di pasaran merupakan faktor kekurangan minat pelajar terhadap sastera. Beliau mencadangkan kelab membaca ditubuhkan agar pelajar boleh digalakkan membaca dengan adanya sedikit cenderahati dan menyeru pihak penerbit atau pengarang menghasilkan buku-buku sastera dalam bentuk rekreasi yang sesuai untuk dibaca oleh pelajar. Kajian Kathy (1994) juga menggunakan teknik baca kuat untuk menggalakkan pelajar membaca dan buku percuma diberikan kepada pelajar yang terlibat. Buku-buku bentuk rekreasi perlu ditambahkan untuk menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar. Dalam memupuk minat membaca di kalangan pelajar, seharusnya ada galakan berbentuk motivasi intrinsik atau motivasi ekstrinsik daripada pihak ibu bapa atau guru. Melalui kajian yang dijalankan ini, dikenal pasti bahawa pelajar menunjukkan kecenderungan dan minat untuk membaca bahanbahan bacaan berbentuk rekreasi dan dengan galakkan dan motivasi yang berterusan daripada ibu bapa dan guru-guru. Ina Sue (1994) menjalankan kajian ke atas 39 orang murid Gred 3 dengan tujuan memupuk keseronokan membaca di kalangan murid dan murid memilih untuk membaca apabila terdapatnya galakan, pilihan bahan bacaan dan masa untuk membaca. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa murid membaca dengan penuh minat setelah mendapat galakan daripada ibu bapa dan guru. Menurut Thomas & Swartout (1963), hanya ABM yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperoleh pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan. Alat bantu mengajar yang digunakan melibatkan penggunaan deria pelajar seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau. Dengan penglibatan semua deria, pelajar bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran guru, malah pelajar lebih mudah memahami dan mengingati bahan pelajaran yang disajikan kepadanya. Penggunaan ABM yang melibatkan deria semasa pengajaran dan pembelajaran akan 239

menjadikan pengajaran guru lebih berkesan. Alat bantu mengajar bukan sahaja membantu menghidupkan kelas, malah mempelbagaikan perkembangan kognitif dan afektif pelajar. Pendapat ini sependapat dengan Lester (1956), Bruner (1966), Wilkinson (1971), Charles (1972). Abdul Ghani (1996) menegaskan faktor bahan memberi kesan dalam meningkatkan minat pelajar untuk terus menguasai sesuatu kemahiran berbahasa dan berinteraksi dengan lebih berkesan. Oleh itu, guru perlu menggunakan pelbagai bahan media yang sesuai dan menarik supaya boleh menukar suasana pembelajaran yang kaku kepada pembelajaran yang melibatkan pelajar. Aplikasi dan manipulasi pengajaran bahasa melalui media elektronik, pengisian komputer, grafik dan sebagainya dapat mengekalkan minat dan tumpuan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa. Guru perlu kreatif dan inovatif serta menguasai kemahiran teknologi maklumat seiring dengan arus perkembangan pendidikan semasa. Kejayaan guru memilih bahan dan media sesuai dengan dapatan kajian Nadzeri (1985). Menurut Omardin (1999), sumber dan bahan pengajaran yang digunakan oleh guru perlu menarik, dapat mengekalkan minat pelajar, mengembangkan minat pelajar terhadap pelajaran dan menjadikan pembelajaran lebih menarik. ABM dapat membentuk daya pemikiran, kreatif dan memperkukuhkan persepsi pelajar. Pumfrey (1977) berpendapat membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca adalah lebih jauh daripada itu. Membaca adalah satu proses pemikiran yang membina. Maksud beliau, dengan membaca, seseorang itu harus dapat membina kebolehan menilai, mengulas dan mengkritik apa yang dibaca dengan tepat, memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan citacita serta fikiran yang terbuka dan positif. Pendidikan bahasa Arab merupakan salah satu cabang pendidikan yang turut sama penting dengan pendidikan lain. Dalam buku-buku pedagogi yang boleh didapati di perpustakaan pendidikan, sama ada yang ditulis oleh penulis tempatan atau penulis luar, kebanyakannya merujuk kepada buku-buku dari Barat. Oleh sebab itulah, kaedah yang digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran masih kekal namanya yang asal walaupun bentuk ejaannya telah dimelayukan. Antara kaedah tersebut seperti kaedah induktif, deduktif, socrates, praktis, inkuiri penemuan, simulasi, demonstrasi dan sebagainya. Selain daripada itu ada kaedah lain yang lebih umum serta sebutannya berorientasikan tempatan seperti kaedah bercerita, kaedah kuliah atau syarahan, perbincangan, perbandingan, 240

latih tubi, hafalan, soal jawab, sosiodrama, main peranan, penyelesaian masalah, sumbang saran dan sebagainya. Sebahagian penulis menamakan ini sebagai teknik (Mok, 1992). Walau bagaimanapun, kita memahami bahawa ini adalah satu cara pengajaran. Cara atau kaedah ini digunakan pada keadaan-keadaan tertentu mengikut kesesuaian dan kehendak tajuk yang diajar serta guru yang mengajar. Kaedah ini boleh dikatakan kaedah umum kerana hampir semua mata pelajaran di sekolah boleh mengaplikasikan kaedah ini dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran Bahasa Arab, khasnya nahu (tatabahasa), ada beberapa kaedah lain yang sesuai iaitu kaedah tematik (tariqah al-mawduciyah), kaedah mengeja (tariqah alimla’iyah), kaedah soal jawab (tariqah al-munazarah), kaedah latih tubi (tariqah almulazamah), kaedah perbandingan (tariqah al-qiyasiyah), dan kaedah Induktif. Keperluan kepada kaedah-kaedah yang betul tidak boleh dipandang ringan dalam satu-satu sistem pembelajaran yang ideal. Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan dengan sistematik bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, beberapa aspek penting perlu diambil kira dalam proses pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Arab. Kaedah latih tubi (tariqah al-mulazamah) adalah bersesuaian dengan bentuk pembelajaran bahasa kerana kemahiran berbahasa perlu kepada proses mengulangi apa yang diperlajari, disebut atau ditulis. Di dalam Islam, kaedah ini adalah antara bentuk pengajaran yang awal di mana Malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dengan mengulangi kalimah Iqra beberapa kali sehinggalah Nabi Muhammad dapat menyebutnya. Membaca berulang kali merupakan prinsip utama dalam pengajaran berbentuk latih tubi ini. Ia amat baik terutamanya bagi tujuan meningkatkan kemahiran lisan dan kemahiran membaca. Kaedah pembelajaran Al-Qur‟an secara tradisional lazimnya menggunakan kaedah ini sejak zaman berzaman dan ia amat berkesan untuk jangka masa yang panjang di samping mengukuhkan penguasaan tajwid dan dalam konteks bahasa Arab ia penting dalam menjelaskan aspek nahu secara terperinci mengikut tahap pembelajaran. Kaedah Induktif

adalah kaedah yang berlawanan dengan kaedah perbandingan.

Melalui kaedah ini, para pelajar didedahkan dengan pelbagai contoh dan situasi serta penghuraian sebelum pergi menuju konklusi dan kesimpulan atau merujuk sesuatu hukum. Kaedah ini dapat menggalakkan murid untuk membuat kesimpulan dan rumusan sendiri sebelum dibandingkan dengan kesimpulan umum yang ditetapkan oleh guru. Kaedah ini banyak membantu murid untuk berfikir, merenung, menganalisa dan berlatih membina 241

kesimpulan dan prinsip. Contohnya dalam konteks pembelajaran bahasa Arab, kaedah ini turut sesuai dipraktikkan dalam pengajaran qawaid atau tatabahasa. Setelah diberikan contoh yang banyak dan murid membuat rumusan daripada apa yang boleh difaham berdasarkan contoh. Kemahiran membaca adalah kemahiran bahasa yang amat penting untuk dikuasai oleh seseorang individu. Kita mungkin tidak dapat bersama-sama dengan orang lain sepanjang masa, oleh itu melalui bacaan sahaja, kita dapat memahami mesej yang disampaikan oleh orang lain. Bacaan boleh diertikan secara luas dan tidak hanya terhad kepada maksud membunyikan tulisan atau “barking at words” semata-mata. Membaca secara senyap dengan memberi penekanan kepada memahami apa yang dibaca adalah sangat penting. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan dengan sistematik bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, beberapa aspek penting perlu diambil kira dalam proses pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan bahasa Arab. Antaranya ialah kesesuaian aktiviti yang terkandung di dalamnya serta penerapan aspek nilai. Ini kerana dalam falsafah pendidikan Islam misalnya, pencapaian seseorang murid itu bukan hanya diukur berdasarkan keupayaan menguasai maklumat dan isi pelajaran yang terkandung dalam sukatan pembelajaran sahaja, sebaliknya pembangunan nilai sahsiah dalam diri dan aplikasi moral terhadap persekitaran mengikut acuan pendidikan Islam juga menjadi kriteria terhadap pencapaian seseorang pelajar. Tidak semua kaedah adalah sesuai dalam konteks pendidikan bahasa Arab yang amat berkait rapat dengan nilai tarbiah Islam. Aspek sejarah metodologi pengajaran dan penyebaran ilmu dalam Islam juga perlu diambil kira. Persoalan apakah kaedah yang diguna pakai oleh para ulama salaf tidak relevan dengan suasana sekarang harus diteliti secara saksama dan jujur. Begitu juga dengan persoalan setakat mana tahap istiqamah, konsistensi dan konsentrasi pelajar dalam mempelajari bahasa Arab sama ada di peringkat awal, pertengahan mahupun di peringkat tinggi. Persoalan kesesuaian kaedah pembelajaran moden serta susun atur fizikal sesebuah kelas pendidikan bahasa Arab era hari ini juga harus dikupas dengan jelas. OBJEKTIF KAJIAN Objektif dijalankan kajian adalah untuk :

242

1. Memperkenalkan kemahiran asas membaca teks Arab kepada pelajar Maharat alQiraah. 2. Menanamkan rasa cinta dan suka membaca bahan bacaan dalam bahasa Arab di kalangan pelajar. 3. Mengenal pasti sebab kelemahan pelajar dalam meletakkan baris kosa kata nama terakhir selepas al-jarr dan al-zarf. 4. Menambah keprihatinan pelajar terhadap baris akhir kosa kata nama atau perkataan selepas al-jarr dan al-zarf ketika membaca teks Arab. 5. Menjadikan syahid Al-Qur‟an dan kemahiran asas membaca Al-Qur‟an sebagai latihan pengukuhan membaca kosa kata nama selepas al-jarr dan al-zarf. 6. Memperkenalkan kaedah latih-tubi bagi mengukuhkan kemahiran membaca pelajar.

KUMPULAN SASARAN KAJIAN Kumpulan kawalan yang terdiri daripada para pelajar yang mengambil subjek PPPY 1112 Maharat al-Qiraah (Kemahiran Membaca) bagi pengajian semester 1 sesi 2011/2012 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

INSTRUMEN KAJIAN TINDAKAN Instrumen yang digunakan dalam kajian tindakan ini ialah Ujian Pra dan Ujian Pasca. Kandungan dalam ujian yang dijalankan adalah seperti berikut : Jadual 1: Kandungan soalan dalam Ujian Pra dan Ujian Pasca Bahagian

Kandungan

A

Maklumat responden

B

Pengetahuan tentang al-jarr wa al-majrur dan al-zarf wa mudaf ilayh : 1. Mengenal partikel al-jarr 2. Mengenal partikel al-zarf 3. Fungsi al-jarr dan al-zarf (al-majrur bi al-kasrah, al-ya’ dan alfathah) 4. Kategori kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf, iaitu: ism mufrad, ism muthanna, jamc al-taksir, jamc muannath al-salim, jamc muzakkar al-salim, mamnuc min al-sarf. 243

5. Pilihan kosa kata yang betul dalam ayat C

Kemahiran Membaca Isim Majrur dan Mudaf Ilayh 1. Mengenal kosa kata selepas al-jarr dalam ayat Al-Qur‟an 2. Mengenal kosa kata selepas al-zarf dalam ayat Al-Qur‟an 3. Mengeluarkan huruf al-jarr, ism majrur dan tanda majrur dalam ayat Al-Qur‟an 4. Baris kosa kata selepas al-jarr dan al-zarf dalam ayat 5. Baris kosa kata selepas al-jarr dan al-zarf dalam perenggan.

LANGKAH-LANGKAH KAJIAN TINDAKAN Langkah-langkah kajian dijalankan selama lima minggu bermula pada 26 Oktober 2011 iaitu dengan mengadakan bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab hingga ke pelaksanaan latih tubi yang dijalankan di dalam kelas semasa sesi pengajaran oleh tenaga pengajar yang terlibat sepanjang 5 minggu yang berikutnya iaitu daripada 2 November hingga 14 Disember 2011. Penerangan awal dibuat dalam bengkel Kemahiran asas membaca teks Arab dan diikuti dengan kaedah latih tubi. Penerangan lanjut berkaitan pelaksanaan kajian adalah seperti berikut :

1. Bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab Selepas ujian, ketua projek UKM-PTS-2011-108 memberi taklimat berkaitan al-jarr dan al-

zarf, fungsi kedua-dua partikel dan cara membaca kosa kata selepas kedua-dua partikel ini. Dalam taklimat ini, contoh-contoh daripada ayat-ayat Al-Qur‟an digunakan bagi memudahkan pelajar mengenal baris yang betul. Para pelajar juga diajar tentang tanda-tanda al-jarr. Terdapat tiga tanda al-jarr, iaitu: al-kasrah, al-ya’ dan al-fathah. Kemudian, mereka diperkenalkan dengan kategori kosa kata nama yang majrur dengan al-kasrah, al-ya’ dan alfathah.. Selepas itu, para peserta diminta membaca satu surah dari Al-Qur‟an dan mereka diminta memerhatikan kosa kata nama yang terletak selepas huruf al-jarr dan al-zarf dalam surah tersebut. Selepas itu, mereka diminta mengeluarkan kosa kata nama tersebut dan mengenalpasti samada ia adalah kata nama mufrad, muthanna, jamc al-taksir, jamc muannath al-salim, jamc muzakkar al-salim, al-asma’ al-khamsah atau mamnuc min al-sarf.. Hasil bengkel yang dijalankan menunjukkan bahawa para pelajar mengalami peningkatan dalam kemahiran membaca kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf. 244

2.

Ujian Pra dan Pasca

Selepas Pendaftaran, para peserta diberi satu ujian yang mengandungi soalan-soalan berkaitan al-jarr dan al-zarf, fungsi kedua-dua partikel ini serta kemahiran meletakkan baris pada kosa kata selepas al-jarr dan al-zarf. Ujian ini bertujuan untuk mengetahui tahap pengetahuan sedia ada para pelajar tentang al-jarr dan al-zarf serta mengetahui tahap kemahiran mereka menggunakan kemahiran tersebut ketika membaca teks Arab. Kandungan soalan dalam ujian ini boleh dilihat dalam jadual berikut:

Jadual 2 : Soalan Ujian Pra dan Pasca Bil. Soalan

Tajuk

Bahagian A

Tahap Pengetahuan :

Soalan 1 - 10



Maklumat berkaitan huruf al-jarr dan al-zarf.



Fungsi huruf al-jarr dan al-zarf.



Tanda kosa kata nama al-majrurat: al-kasrah, al-ya’ dan alfathah.



Kategori kosa kata nama al-majrurat:



Kata tunggal (mufrad), Kata duaan (muthanna), kata jamc (jamc al-taksir, jamc muannath al-salim, jamc muzakkar al-salim), alasma’ al-khamsah dan mamnuc min al-sarf.

Bahagian B Soalan 11-15

Tahap Kemahiran : 

Mengeluarkan kosa kata nama al-majrurat dalam ayat AlQur‟an.



Mengeluarkan kosa kata nama al-majrurat dalam ayat dan perenggan.



Membariskan kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf. dalam ayat dan perenggan.

Untuk

membuat

penilaian

dan

perbincangan

terhadap

dapatan

kajian,

pengkaji

mengkategorikan penilaian ujian pra dan ujian pasca kepada empat kategori berdasarkan purata peratus keseluruhan bagi setiap bahagian soalan. Jadual 2 menunjukkan penilaian bagi markah ujian pra dan pasca.

245

Jadual 3 : Penilaian bagi markah Ujian Pra dan Pasca Markah

Penilaian

81 – 100

Sangat Baik

61 – 80

Baik

41 – 60

Sederhana

01 – 40

Lemah

3. Pertandingan Teka Silang Kata Untuk memantapkan lagi maklumat pelajar, pada penghujung bengkel diadakan pertandingan teka silang kata. Para pelajar dibahagikan kepada sebelas kumpulan dan setiap kumpulan diberikan kertas soalan beserta maklumat untuk menyusun silang kata dalam kertas yang telah tersedia ruangan untuk mengisi teka silang kata tersebut. Terdapat enam kumpulan yang mendapat markah penuh iaitu 22/22, satu kumpulan mendapat 21/22, dua kumpulan mendapat 18/22, satu kumpulan mendapat 16/22 dan satu kumpulan mendapat 7/22. Keseluruhan permainan ini memperlihatkan bilangan kumpulan yang mendapat markah tinggi adalah lebih banyak berbanding dengan kumpulan yang mendapat markah rendah.

4. Kaedah latih tubi Kaedah latih tubi dijalankan di dalam kelas semasa sesi pembelajaran bagi subjek Maharat alQiraah. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada penilaian dan latihan berterusan ke arah memantapkan penguasaan pelajar terhadap kemahiran membaca kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf dengan baris yang betul. Aktiviti ini dikendalikan oleh lima orang tenaga pengajar yang bertindak sebagai fasilitator dalam kelas masing-masing. Para pelajar dibekalkan dengan teks bahasa Arab yang tidak berbaris dan mereka dikehendaki membaca teks mengikut arahan guru masing-masing. Penekanan diberi kepada sebutan baris akhir bagi kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf yang betul. Latih tubi ini dilaksanakan secara berterusan selama lima minggu selepas pelajar mendapat pendedahan awal berkaitan huruf al-jarr dan al-zarf serta fungsinya dalam bengkel khusus yang telah diadakan sebelum ini berkaitan kemahiran asas membaca teks Arab. Hasil latih tubi yang dijalankan menunjukkan peningkatan tahap pengetahuan dan kemahiran pelajar mengenal pasti tanda bacaan yang betul adalah bertambah baik. Para pelajar dilihat lebih peka dan prihatin ketika membaca teks bahasa Arab serta meletakkan tanda bacaan yang sesuai dan betul. Hal ini memperlihatkan keupayaan dan penguasaan mereka mengenal 246

pasti tanda bacaan bagi kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf sebagaimana mereka mampu membaca Al-Qur‟an dengan baris yang betul.

PENGUMPULAN DATA Dari aspek pengumpulan data pula, instrumen-instrumen kajian iaitu Ujian Pra dan Ujian Pasca dijalankan pada tempoh yang ditetapkan, dan soalan Pra dan Pasca juga adalah sama bagi menilai tahap penguasaan kemahiran mengenal tanda bacaan kosa kata nama yang betul selepas al-jarr dan al-zarf. Ujian Pra dijalankan sebelum bermulanya bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab bertujuan untuk melihat sejauh manakah pengetahuan dan kemampuan pelajar mengenal pasti, membaca dan membariskan dengan betul kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf. Manakala, Ujian Pasca dijalankan selepas minggu kelima, iaitu setelah selesai aktiviti latih tubi dijalankan bertujuan melihat sejauh manakah tahap pengetahuan dan kemahiran pelajar meningkat dan mampu mengaplikasikan kefahaman, pengetahuan yang digarap hasil daripada latih tubi berterusan yang dilakukan di dalam kelas. Berikut dilampirkan analisis dan interpretasi ujian pra dan pasca yang diperoleh.

1.

Analisis Ujian Pra dan Ujian Pasca Jadual 4: Analisis Ujian Pra dan Ujian Pasca Penilaian

Julat

Ujian Pra

Ujian Pasca

Markah

Kekerapan

%

Kekerapan

%

Cemerlang

80-100

1

2.3

11

25

Baik

60-79

18

40.9

31

70.5

Sederhana

40-59

20

45.5

2

4.5

Lemah

0-39

5

11.4

0

0.0

Data dalam jadual 1 menunjukkan markah pencapaian pelajar dalam ujian pra dan ujian pasca. Penilaian dibahagikan kepada empat kategori, iaitu cemerlang, baik, sederhana dan cemerlang. Dapatan ujian pasca menunjukkan seramai 11 orang pelajar berjaya mendapat cemerlang berbanding ketika ujian pra, hanya seorang pelajar sahaja mendapat cemerlang. Pelajar yang mendapat markah pencapaian baik juga meningkat daripada hanya 18 orang pelajar dalam ujian pra meningkat kepada 31 orang dalam ujian pasca. Dalam ujian pasca, terdapat 20 orang pelajar mendapat markah pencapaian sederhana, manakala 5 orang pelajar 247

lagi hanya mendapat markah pencapaian lemah. Dalam ujian pasca, terdapat dua orang pelajar mendapat markah pencapaian sederhana, manakala dalam kategori pencapaian lemah, tiada lagi pelajar yang masih berada dalam kategori ini.

Jadual 5: Kekerapan dan Peratus Peningkatan Bil

Perkara

Julat Markah

Bil Responden

Peratus

1.

Peningkatan Tinggi

51% dan ke atas

1

2.3

2.

Peningkatan Sederhana

21%-50%

18

40.9

3.

Peningkatan Rendah

1%-20%

22

50

4.

Tiada Peningkatan

0%

2

4.5

Hasil dapatan dalam jadual di atas menunjukkan bahawa seorang pelajar mengalami peningkatan markah yang tinggi, iaitu lebih 51% dalam ujian pasca berbanding markah yang diperolehnya dalam ujian pra. Seramai 18 orang pelajar (40.9%) pula menunjukkan peningkatan sederhana dengan julat markah 21%-50%. Terdapat 22 orang pelajar (50%) hanya menunjukkan peningkatan yang rendah dengan julat 1%-20%. Bagaimanapun, terdapat juga 2 orang pelajar (4.5%) yang tidak menunjukkan apa-apa peningkatan. Dapatan keseluruhan menunjukkan bahawa kemahiran membaca Al-Qur‟an dan kaedah latih tubi dapat membantu meningkatkan kemahiran asas membaca teks Arab dalam kalangan pelajar walaupun 50% daripada bilangan respondan hanya mengalami peningkatan yang rendah.

2. Analisis temu bual Seramai 5 orang guru yang menjadi fasilitator telah ditemu bual. Semuanya bersetuju bahawa kaedah ini jika dilaksanakan dengan lebih sistematik dan terancang mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar membaca teks Arab dengan baik dan betul. Seramai 5 orang pelajar telah ditemu bual. Secara keseluruhan, semua respondan juga bersetuju bahawa kaedah latih tubi membantu meningkatkan kepekaan pelajar ketika membaca teks Arab. Mereka lebih berhati-hati ketika membaca teks terutama ketika bertemu dengan partikel atau perkataan yang mempunyai fungsi yang boleh mengubah baris akhir kosa kata selepasnya seperti huruf jarr, huruf inna, kana dan sebagainya. Kaedah ini dapat meningkatkan tahap keyakinan 248

mereka ketika membaca teks Arab. Responden juga meminta agar kaedah ini diteruskan bagi kemahiran membaca kosa kata nama yang terletak selepas partikel lain seperti partikel inna dan kata setugasnya, kana dan kata setugasnya, begitu juga kosa kata kerja yang terletak selepas huruf nasb dan jazm.

3.

Analisis Keberkesanan Bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab

Setelah selesai dijalankan bengkel dan latihan latih tubi kemahiran membaca kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf, borang soal selidik penilaian diedarkan kepada para pelajar bertujuan mendapatkan respon mereka terhadap keberkesanan pelaksanaan aktiviti di dalam bengkel dan sejauh manakah aktiviti sebegini mampu untuk meningkatkan pengetahuan dan kemampuan pelajar untuk membaca dan membariskan teks bahasa Arab dengan betul khususnya berkaitan al-jarr dan al-zarf wa mudaf ilayh dengan menggunakan syahid AlQur‟an atau ayat-ayat Al-Qur‟an sebagai contoh terhampir. Melalui respon pelajar ini, banyak penambahbaikan dapat dibuat bagi menjamin mutu pengajaran berkesan dapat diwujudkan di dalam kelas. Berikut dilampirkan item-item soalan dan analisis penilaian pelajar sebelum dan selepas mengikuti Bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab yang diperoleh.

Item Soalan Penilaian Bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab Soalan 1

:

Tahap pengetahuan yang dimiliki oleh peserta tentang kemahiran asas membaca teks Arab.

Soalan 3

:

Kemahiran menggunakan pengetahuan sedia ada ketika membaca.

Soalan 4

:

Kemahiran mengenal tanda asas tatabahasa dalam ayat Al-Qur‟an.

Soalan 7 & 8 :

Aktiviti dalam kursus dan bengkel.

Soalan 10

Latih tubi membaca teks Arab.

:

Jadual 6: Analisis Penilaian Peserta Sebelum Bengkel No. Soalan

1

3

4

7&8

10

Memuaskan

0

1

2

24

15

Tidak Memuaskan

31

30

29

7

16

249

Rajah 1: Analisis Penilaian Peserta Sebelum Bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab dan Latih Tubi Rajah 1 menunjukkan keputusan analisis daripada penilaian peserta sebelum bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab: o Tahap pengetahuan yang dimiliki oleh peserta berkaitan kemahiran asas membaca teks Arab adalah tidak memuaskan. o Kemahiran menggunakan pengetahuan sedia ada ketika membaca teks Arab juga tidak memuaskan kerana daripada 31 orang pelajar, hanya seorang pelajar sahaja yang berkemahiran menggunakan pengetahuan yang sedia ada ketika membaca teks Arab. o Kemahiran mengenal tanda asas tatabahasa dalam ayat al-Quran di kalangan peserta bengkel juga tidak memuaskan dengan sebanyak 29 orang peserta yang mengalami masalah ini. o Namun, seramai 24 orang peserta menunjukkan rasa berpuas hati dan berminat menyertai sebelum diadakan aktiviti dalam kursus dan bengkel. o Seramai 15 orang mengatakan bahawa mereka mengadakan latih tubi membaca teks Arab sebelumnya, berbanding 16 orang yang mengatakan bahawa mereka jarangjarang mengadakan latih tubi membaca teks Arab. Daripada keseluruhan analisis, menunjukkan bahawa para peserta sebelum menyertai bengkel, prestasi dan kemahiran asas mereka membaca teks Arab berada pada tahap yang tidak begitu memuaskan. 250

Jadual 7: Analisis Penilaian Peserta Selepas Bengkel No. Soalan

1

3

4

7&8

10

Memuaskan

27

25

29

30

28

Tidak Memuaskan

4

6

2

1

3

Rajah 2: Analisis Penilaian Peserta Selepas Bengkel Kemahiran Asas Membaca Teks Arab dan Latihan Latih Tubi Rajah 2 menunjukkan analisis keseluruhan penilaian para peserta selepas menyertai bengkel. Prestasi dan kemahiran asas membaca teks Arab pelajar berada pada tahap yang begitu memuaskan. Ini adalah hasil daripada bengkel yang dihadiri dan latihan latih tubi berterusan yang dilakukan di dalam kelas atas bimbingan guru yang bertindak sebagai fasilitator. 4. Analisis Tahap Kepekaan Ketika Membaca Al-Qur’an Jadual 8: Analisis Tahap Kepekaan Ketika Membaca Al-Qur‟an Bil

Item

1.

Adakah anda memerhatikan baris akhir setiap perkataan dalam ayat Al-Qur‟an ketika membaca Al-Qur‟an?

2.

Adakah anda menyedari baris pada ayat Al-Qur‟an ada kaitan dengan kaedah Nahu? 251

Ya (%) 58.3

Tidak (%) 41.7

83.3

16.7

3.

Adakah anda menggunakan kemahiran membaca Al-Qur‟an yang anda miliki ketika membaca teks Arab?

54.2

45.8

4.

Adakah anda yakin bahawa kemahiran membaca Al-Qur‟an boleh digunakan untuk meningkatkan kemampuan anda membaca teks Arab dengan baik jika anda diberi latihan?

97.9

2.1

Berdasarkan jadual di atas, hanya 58.3% respondan mengakui bahawa mereka memerhatikan baris akhir setiap perkataan dalam ayat Al-Qur‟an ketika membaca Al-Qur‟an, sedangkan 41.7% pula sebaliknya. Walau bagaimanapun 83.3% menyedari bahawa baris pada ayat Al-Qur‟an ada kaitan dengan kaedah nahu. Hanya 54.2 % respondan mengakui bahawa mereka menggunakan kemahiran membaca Al-Qur‟an yang anda miliki ketika membaca teks Arab. Hampir keseluruhan respondan atau 97.9% yakin bahawa kemahiran membaca Al-Qur‟an boleh digunakan untuk meningkatkan kemampuan anda membaca teks Arab dengan baik jika diberi latih tubi berterusan.

PENUTUP Kesimpulannya, kami berpendapat kajian tindakan yang dijalankan ini telah berjaya membantu meningkatkan penguasaan dan kemahiran asas membaca teks bahasa Arab dalam kalangan pelajar, khususnya dalam mengenal pasti tanda bacaan yang betul bagi kosa kata nama selepas huruf al-jarr dan al-zarf wa mudaf ilayh. Kesukaran tetap ada pada awalnya, iaitu dalam rangka melaksanakan aktiviti ini. Akan tetapi, atas kesungguhan tenaga pengajar yang terlibat serta komitmen dan kerajinan para pelajar maka hasil yang diperoleh amat membanggakan. Aktiviti dan latih tubi berterusan perlu diteruskan bagi memantapkan lagi penguasaan pembacaan pelajar. Al-Qur‟an merupakan mukjizat teragung buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Melalui ayat-ayat Al-Qur‟an kita dapat mempelajari dan memahami banyak ilmu antaranya ilmu Nahu. Menjadi kewajipan bagi setiap muslim memahami setiap patah perkataan yang diungkap tatkala mengalunkan bacaan Al-Qur‟an di samping meneliti tanda baris dan mengetahui kaedah nahu yang tersirat disebaliknya. Pemilihan kaedah, strategi, teknik dan pendekatan yang sesuai dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan langkah yang penting untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai. Kaedah latih tubi dan latihan pembacaan berterusan adalah pendekatan yang sesuai dijalankan ke atas pelajar bagi memantapkan kemahiran mereka membaca teks bahasa Arab. 252

PENGHARGAAN Kajian ini dijalankan dengan menggunakan dana UKM-PTS-2011-107, UKM-PTS-2011-108 dan KOMUNITI-2011-016. Jutaan terima kasih kepada UKM kerana memberi kami dana bagi menjalankan kajian ini. RUJUKAN Ahmad Mohd. Salleh. 1997. Pendidikan Islam. Falsafah, Pedagogi dan Methodologi. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Ee Ah Meng. 1997. Pedagogi ll Pelaksanaan Pengajaran. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Mok Soon Sang & Lee Shok Mee. 1991. Pedagogi 3 Pengajaran dan Persediaan Mengajar. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Mok Soon Sang. 1996. Pedagogi 2 Pelaksanaan Pengajaran. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Harison Mohd Sidek. 2010. Reading instruction theory and practise. Nilai: Penerbit USIM. Kolzow, L.V & Lehmann, Jane. 1982. College reading: Strategies for success. New Jersey: Prentice-Hall, Inc. Mohd Zainuddin Hashim. 1982. Suatu tinjauan mengenai minat membaca dan bahan-bahan yang dibaca oleh pelajar-pelajar sekolah menengah desa di Semenanjung Malaysia. Tesis Sarjana Yang Tidak Diterbitkan. Universiti Putra Malaysia. Nurul Huda Osman. 2009. Muqarrar taclim al-lughah al-cArabiyah lil natiqin bi ghayriha madkhal taqwimi. Kuala Lumpur: IIUM Press. Qasim, Riyad Zaki. 2000. Tiqniyat al-tacbir al-cArabi. Beirut: Dar al-Macrifah. al-Rifaci, Najib cAbdullah. 1997. Maharat dirasiyah. Cet. Ke-3. Kuwait: Maktabah al-Manar al-Islamiyah. al-Rukabi, Jawdat. 1986. Fi taclim al-lughah al-cArabiyah. al-Urdun: Dar al-Fikr li al-Tibacah wa al-Nashr wa al-Tawzic. Shalabi, Ahmad. 1980. Taclim al-lughah al-cArabiyah li ghayr al-cArab. Kaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyah. al-Shanti, Muhammad Salih. 2003. al-Maharat al-Lughawiyah. Cet. Ke-5. al-Mamlakah alc Arabiyah al-Sacudiyah: Dar al-Andalus lil Nashr wa al-Tawzic. Siti Hajar Abdul Aziz. 1998. Penguasaan Pemahaman Membaca di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat di Dua Buah Sekolah Menengah di Kajang, Selangor. Tesis Sarjana Yang Tidak Diterbitkan. Universiti Putra Malaysia. 253

Smith, F. 1990. Bacaan. Terj. Siti Nordinar Mohd. Tamin & Fadzilah Md. Arif. Ed. Ke-2. Skudai: Unit Penerbitan Akademik UTM. al-Sufi, cAbd al-Latif. 2007. Fan al-Qiraah. Damsyiq. Dar al-Fikr. al-Zayni, Ibrahim. 1992. al-Islam manhaj wa tariqatu tadris. Beirut: Maktabah Lubnan. Kamarudin bin Jaffar. Kaedah Mengajar Bahasa Arab. Bertarikh 12 Ogos 2012, Jumaat. Artikel Pilihan Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian http://ppdkerian. edu.my. Pendedahan Kurikulum Semakan BAK & BAT, Unit Bahasa Arab Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam Dan Moral, Jab. Pendidikan Islam Dan Moral, Kem. Pendidikan Malaysia.

254

Suggest Documents