KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - Ustaz Rahim Jusoh

52 downloads 5526 Views 51KB Size Report
Pengajian ilmu qiraat di Malaysia kini bukan lagi suatu yang asing. .... berkaitan ilmu al-Quran seperti Ilmu Tajwid, Talaqqi al-Quran, Pengantar Ulum al-Quran.
KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin Saleh Abd Muhaimin bin Ahmad Norazman bin Alias [email protected] [email protected] [email protected]

Pengajian ilmu qiraat di Malaysia kini bukan lagi suatu yang asing. Hampir setiap institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian Islam di negara ini turut menawarkan ilmu qiraat kepada mahasiswa dan mahasiswi mereka. Ini kerana ilmu qiraat berkait rapat dengan pelbagai disiplin ilmu terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa perkembangan ilmu qiraat di negara ini masih pada peringkat pengukuhan di mana institusi-institusi pengajian tempatan mula mengorak langkah dan berusaha untuk mengembangkan ilmu ini. Dalam menempuhi peringkat ini, pelbagai cabaran harus dilalui demi mencapai harapan dan hasrat yang disasarkan. Antara cabaran utama yang menjadi tumpuan adalah keberkesanan mempelajari ilmu qiraat dan kaedah pengajaran yang paling sesuai digunakan dalam menyampaikan ilmu ini. Melalui kertas kerja ini, pandangan daripada ahli-ahli yang arif dan berpengalaman dalam bidang qiraat akan dijadikan sebagai landasan bagi menempuh cabaran tersebut sekaligus merungkai masalah pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan pengajian ilmu ini.

1.0

Pendahuluan

Perkembangan pengajian ilmu qiraat di negara ini merupakan fenomena yang dapat diperhatikan sejak beberapa dekad yang lalu. Ia dapat dilihat menerusi penawaran institusi pengajian tinggi awam dan swasta terhadap kursus-kursus yang berkaitan dengan pengajian qiraat. Malahan, subjek qiraat juga diterapkan kepada para pelajar di sekolah menengah agama menerusi Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ). Ini menunjukkan bahawa pengajian ilmu qiraat semakin mendapat perhatian dalam kalangan para pelajar yang menuntut dalam bidang pengajian Islam. Tidak dapat disangkal bahawa fenomena ini menggambarkan bahawa pembelajaran ilmu qiraat adalah penting kerana ia merupakan sebahagian daripada ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bacaan al-Quran.

1

2.0

Definisi Ilmu Qiraat

Menurut Imam Ibn al-Jazari: Ilmu Qiraat merupakan ilmu yang menjelaskan kaedah menyebut kalimah-kalimah di dalam al-Quran di samping menjelaskan perbandingan bacaan antara imam-imam qiraat.1 Ini menunjukkan bahawa bacaan al-Quran dan ilmu tajwid yang dipelajari dan diamalkan pada hari ini merupakan salah satu jenis bacaan yang terdapat di dalam pengajian ilmu qiraat iaitu menurut bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim. Namun begitu, ruang lingkup ilmu qiraat tidak terbatas sekadar pada bacaan alQuran sahaja, bahkan ianya turut memainkan peranan yang besar dalam memahami pengajian tafsir al-Quran, permasalahan fekah dan akidah. Memandangkan kepentingan dan hubung kait ilmu qiraat dengan ilmu-ilmu yang lain, ianya amat wajar dipelajari oleh para pelajar yang mengambil jurusan pengajian Islam tanpa membatasi peringkat usia.

3.0

Pengajian Ilmu Qiraat di Malaysia

Menurut kajian yang dilakukan, pengajian ilmu qiraat di Malaysia secara formal bermula seawal tahun 1966 dengan tertubuhnya Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Penubuhan institusi pertama qiraat ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman sewaktu Rektor Universiti al-Azhar, Syeikh Muhammad Syaltut membuat lawatan ke Malaysia.2 Sejak penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat yang pertama ini, maka bermulalah perkembangan ilmu qiraat di negara ini secara rasminya. Selepas beberapa dekad penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat di Kuala Lumpur, lahir pula beberapa institusi tahfiz yang turut menawarkan pengajian ilmu qiraat menurut kronologi berikut: i.

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Melaka (1990);

ii.

Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (1991);

iii.

Maahad Tahfiz Negeri Pahang (1996); dan

iv.

Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Istana Alaeddin Bandar (1996).

1

Ibn al-Jazari, Taqrib al-nashr fi al-Qira’at al-Ashr, ed. Muhammad Ali Baidun, (Beirut: Dar al-Kutub alIlmiyyah, 2002), 3. 2 http://www.darulquran.gov.my/sejarah.html

2

Selain daripada institusi tahfiz, terdapat juga beberapa institusi pengajian tinggi yang turut menawarkan kursus pengajian ilmu qiraat seperti Universiti Kebangsaan Malaysia seawal tahun 1980, Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (1995); Kolej Pengajian Islam Johor (1997).3 Setelah melangkah ke tahun 2000, perkembangan pengajian ilmu qiraat semakin pesat sehingga begitu banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus pengajian ilmu qiraat kepada para pelajar. Keunikan kursus ini dapat dilihat menerusi nama-nama yang diberikan kepadanya kerana ia bukan hanya dikenali dengan satu nama seperti ilmu qiraat, bahkan terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada kursus pengajian qiraat seperti berikut: i.

Pengantar Ilmu Qiraat dan Hafazan;

ii.

Qiraat Ilmi;

iii.

Qiraat Amali;

iv.

Qiraat Asyarah;

v.

Ilmu Qiraat;

vi.

Metodologi Pengajaran Ilmu Qiraat;

vii.

Pengajian Qiraat;

viii.

Tarikh al-Qurra’;

ix.

Mutun Tahriri dan lain-lain.

Selain daripada institusi pengajian tinggi, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia telah diamanahkan untuk mewujudkan Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ). Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum di sekolah di mana ia turut menerapkan pengajian ilmu qiraat kepada para pelajar. Menerusi aktiviti ini para pelajar didedahkan dengan pengenalan terhadap imam-imam qiraat serta cara bacaan mereka menerusi surah-surah lazim bermula dari Surah al-Nas kepada Surah al-Dhuha.4

3

Muhammad Hafiz, Comparative Study On The Science Of Qiraat In Higher Education Institutions In Malaysia, (MA Tesis, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 2010), 4 http://spikel.bpi.edu.my/index.php?view=article&catid=3%3Akurikulum&id=86%3Akelas-kemahiran-alquran&format=pdf&option=com_content&Itemid=49

3

Pengajian ilmu qiraat turut mendapat perhatian masyarakat awam yang dahagakan ilmu berkaitan al-Quran. Pelbagai program pengajian al-Quran yang disediakan turut mendedahkan pengajian ilmu qiraat kepada peserta yang mengikuti program tersebut. Sebagai contoh, Universiti Sains Islam Malaysia menawarkan program sepanjang hayat menerusi Program Persijilan Talaqqi al-Quran yang dibuka kepada masyarakat awam. Kelas yang dijalankan pada setiap hujung minggu ini menawarkan beberapa subjek berkaitan ilmu al-Quran seperti Ilmu Tajwid, Talaqqi al-Quran, Pengantar Ulum al-Quran dan termasuklah Pengantar Ilmu Qiraat.5 Selain Universiti Sains Islam Malaysia, terdapat beberapa lagi institusi yang menawarkan program seumpamanya seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kolej Universiti Islam Selangor dan lain-lain.

4.0

Objektif Pembelajaran Ilmu Qiraat

Menurut kajian yang dilakukan terhadap institusi pengajian tinggi awam, setiap kursus atau subjek qiraat mempunyai objektif yang hampir sama walaupun menggunakan nama yang berbeza. Antara objektif atau penekanan yang ditumpukan dalam pembelajaran ilmu qiraat adalah seperti berikut:6 i.

Memberikan pengenalan yang jelas terhadap ilmu qiraat seperti definisi, objektif, sumber, dalil serta bahan rujukan;

ii.

Memberikan penjelasan mengenai peranan ilmu qiraat dan hubungannya dengan al-Quran;

iii.

Menjelaskan beberapa ilmu lain yang berkaitan dengan ilmu qiraat secara umum seperti Ilmu tajwid, Ilmu Rasm dan Dhabt al-Quran serta Ilmu alFawasil. Ini kerana ilmu-ilmu ini berkait rapat di antara satu sama yang lain;

iv.

Menerangkan latar belakang imam-imam qiraat tujuh atau sepuluh serta perawi mereka. Di samping itu, penekanan juga diberi terhadap kaedah bacaan al-Quran bagi setiap perawi tersebut secara umum; dan

v.

Mempraktikkan bacaan bagi setiap imam qiraat beserta perawi mereka dengan menumpukan kepada surah-surah tertentu di dalam al-Quran. Terdapat

5

http://phip.usim.edu.my/ms/perkhidmatan/program-pengajian/sepanjang-hayat/101-talaqqi-al-quran.html Maklumat ini berdasarkan kepada temubual dengan pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus ilmu qira’at di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Universiti Islam Selangor. 6

4

sebahagian daripada institusi yang memilih juzuk Amma, ada pula yang memilih surah pilihan seperti Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan, manakala ada yang memilih Surah al-Baqarah.

5.0

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Qiraat yang Berkesan

Daripada sudut pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat pula, kaedah yang digunakan adalah hampir serupa di antara satu institusi dengan institusi yang lain. Antara kaedah yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut:7

1. Penyampaian di dalam dewan kuliah Menerusi kaedah ini, para pensyarah atau guru akan memberikan penyampaian kepada pelajar dalam jumlah yang ramai. Kadangkala jumlah ini boleh mencecah 300 orang pelajar. Pengajaran adalah berdasarkan kepada rangka kursus yang telah ditetapkan. Antara penekanan dalam pembelajaran ilmu qiraat menerusi kaedah ini adalah berbentuk teori dan merangkumi topik-topik berikut: i.

Objektif pembelajaran ilmu qiraat;

ii.

Kelebihan mempelajari ilmu qiraat;

iii.

Definisi ilmu qiraat;

iv.

Latar belakang imam-imam qiraat beserta perawi mereka;

v.

Manhaj atau kaedah bacaan bagi setiap imam dan perawi merka;

vi.

Istilah-istilah khas yang digunakan dalam ilmu qiraat; dan

vii.

Cara sebutan bagi bacaan yang jarang atau tiada langsung dalam bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim.

2. Penyampaian di dalam kelas tutorial Selain daripada pengajaran di dalam dewan kuliah, para pensyarah atau guru turut memanfaatkan kelas tutorial untuk memantapkan pengetahuan para pelajar. Di dalam kelas tutorial, jumlah para pelajar adalah terhad antara 10 hingga 30 orang pelajar sahaja. Interaksi dua hala antara pensyarah atau guru dengan para pelajar 7

Maklumat ini berdasarkan kepada temubual dengan pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus ilmu qira’at di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Universiti Islam Selangor.

5

diterapkan menerusi kaedah ini agar dapat memberi peluang kepada para pelajar bersoal-jawab dan berbincang berkaitan ilmu qiraat dengan lebih mendalam. Antara penekanan dalam pembelajaran ilmu qiraat menerusi kaedah ini adalah seperti berikut: i.

Pembentangan ilmu qiraat daripada para pelajar;

ii.

Bacaan al-Quran menurut bacaan imam-imam qiraat beserta perawi mereka secara talaqqi dan mushafahah;

iii.

Hafazan matan al-Shatibiyyah sebagai dalil bagi bacaan imam-imam qiraat beserta perawi mereka;

viii.

Membantu para pelajar menyebut dengan tepat bagi bacaan yang jarang atau tiada langsung dalam bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim;

iv.

Mendengar

dan

memperbetulkan

bacaan

para

pelajar

ketika

mempraktikkan bacaan al-Quran selain daripada bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim; v.

Melantik setiap pelajar untuk mewakili salah satu bacaan bagi imam-imam qiraat atau perawi mereka.

3. Penggunaan alat bantuan mengajar Sewaktu sesi pembelajaran berlangsung, para pensyarah atau guru amat digalakkan menggunakan alat bantuan mengajar bagi mempermudahkan pelajar untuk memahami isi kandungan pelajaran. Antara alat bantuan mengajar yang boleh digunakan adalah seperti berikut: i.

Pembentangan pengajaran menggunakan Microsoft Power Point

ii.

CD qiraat

iii.

Laman web qiraat

iv.

Quran Flash

v.

My LMS @ Goals

vi.

Audio dan video qiraat

vii.

Blog qiraat

viii.

Keratan akhbar dan majalah

6

4. Peperiksaan atau kuiz Pembelajaran yang berteraskan peperiksaan atau kuiz turut memberi kesan kepada penguasaan pelajar terhadap ilmu qiraat. Ini menyebabkan para pelajar lebih fokus dalam pembelajaran dan mampu menarik perhatian mereka terhadap perkara-perkara penting di dalam ilmu qiraat khususnya kepada istilah yang jarang digunakan dalam bacaan riwayat hafs daripada Imam Asim. Kuiz yang kerap kali dilakukan juga dapat menajamkan minda sehingga persoalan yang seringkali ditanya mampu dijawab secara spontan. Kedua-kedua kaedah ini turut menambahkan tumpuan para pelajar terhadap topik yang sedang dipelajari. Lebih-lebih lagi, ia membantu pelajar untuk mengingati nama-nama imam qiraat beserta perawi mereka dan istilah yang digunakan khusus dalam ilmu qiraat.

6.0

Cabaran dan Penyelesaiannya Dalam Pembelajaran Ilmu Qiraat

Dalam mengharungi fasa pembelajaran, seseorang kebiasaannya akan menghadapi cabaran untuk menguasai suatu ilmu tanpa mengira apa jua kursus atau subjek. Suasana ini turut berlaku pada peringkat permulaan dalam mempelajari ilmu qiraat. Antara cabaran dan penyelesaiannya dalam pembelajaran ilmu qiraat adalah seperti berikut:8

i.

Pra syarat mempelajari ilmu qiraat Terdapat beberapa pra syarat yang perlu dipenuhi sebelum mendalami ilmu qiraat. Tanpa pra syarat tersebut, seseorang akan menghadapi kesukaran dalam mempelajari ilmu qiraat. Antaranya adalah; memahami ilmu tajwid terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu qiraat. Ini kerana terdapat pelbagai istilah atau kata nama yang terdapat di dalam ilmu tajwid akan digunakan di dalam pembelajaran ilmu qiraat. Contohnya seperti, Mad Jaiz Munfasil, Mad Wajib Muttasil, Mad Badal, Mad Lin, Tashil, Imalah, Saktah dan sebagainya. Sekiranya maksud atau cara bacaan bagi istilah tersebut tidak difahami, maka kesukaran akan dihadapi sewaktu mempelajari ilmu qiraat kerana istilahistilah tersebut akan seringkali digunakan, bahkan terdapat pelbagai lagi istilah baru yang akan dipelajari dalam ilmu qiraat. Selain itu, penguasaan

8

Muhammad Hafiz, 63- 64.

7

bacaan al-Quran juga menjadi pra syarat dalam mempelajari ilmu qiraat. Ini kerana, bacaan yang digunakan selama ini hanyalah menurut satu riwayat sahaja iaitu; bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim. Sekiranya tahap bacaan al-Quran masih lemah, maka ditakuti kekeliruan akan dihadapi dalam pembelajaran ilmu qiraat. Oleh itu, dengan penguasaan bacaan al-Quran yang mantap, seseorang dapat melihat perbezaan bacaan di antara bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim dengan bacaan-bacaan lain dengan lebih ketara.

ii.

Mengingati kesemua nama imam dan perawi mereka Ini merupakan antara cabaran terawal yang akan dihadapi ketika mempelajari ilmu qiraat. Ini kerana terdapat 21 nama yang perlu diingati dalam pembelajaran ilmu qiraat tujuh. Manakala bagi qiraat sepuluh, 30 nama yang harus diingati. Apatah lagi nama mereka bukanlah seperti nama Melayu melainkan Hisham, Hamzah dan Yaakub. Oleh yang demikian, setiap pelajar digalakkan untuk mengenali nama-nama tersebut terlebih dahulu sebelum mempraktikkan bacaan mereka. Para pelajar juga diharapkan dapat menguasai bacaan satu imam atau perawi secara satu per satu sebelum beralih kepada cara bacaan imam atau perawi yang lain. Manakala peranan pengajar pula adalah mengulangi nama-nama mereka sehingga para pelajar mampu mengingatinya.

iii.

Penggunaan istilah yang jarang digunakan Di dalam ilmu qiraat terdapat beberapa istilah yang hanya digunakan dalam pembelajaran ilmu qiraat sahaja. Kalau pun ada, barangkali ia membawa maksud yang berbeza. Antara istilah yang digunakan adalah seperti tariq, sanad, taqlil, taghliz, tarqiq, naqal, idgham kabir, tashil al-Hamzah al-Thaniah ma’a idkhal al-Alif, ibdal al-Hamzah, qasar, tawassut, ishba’, silah dan sebagainya. Oleh yang demikian, istilah-istilah tersebut seharusnya selalu disebut dan dihafal agar setiap bacaan yang dibaca atau didengar dapat diketahui dengan jelas nama bagi hukum tersebut.9

9

Ibid, 64-65.

8

iv.

Kesukaran menyebut kalimah yang mempunyai khilaf Sebagaimana yang telah dijelaskan cabaran berkaitan istilah yang digunakan di dalam ilmu qiraat, cabaran untuk menyebutnya merupakan perkara yang berbeza. Ini kerana ilmu qiraat tidak boleh dipelajari secara teori sahaja, bahkan ia mesti dipelajari secara praktikal melalui kaedah talaqqi dan mushafahah. Biar pun kaedah ini sudah dilaksanakan, kesukaran menyebut kalimah-kalimah khilaf masih berlaku kerana sesetengah bacaan bagi imam qiraat dan perawi mereka tidak sama dengan bacaan yang dipraktikkan selama ini menerusi bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim. Contohnya pada bacaan taqlil, tashil al-Hamzah, naqal, ibdal al-Hamzah, taghliz al-Lam, tarqiq al-Ra, ikhtilas dan sebagainya. Bagi menangani cabaran ini, para pelajar perlu selalu berlatih menyebut hukum-hukum tersebut dan memastikan bacaan yang disebut adalah tepat dengan memperdengarkannya kepada pensyarah atau guru yang mengajar ilmu qiraat.

v.

Penggunaan Matan al-Shatibiyyah Matan al-Shatibiyyah atau Hirz al-Amani wa Wajh al-Tahani merupakan baitbait syair yang menghimpunkan keseluruhan bacaan bagi imam-imam qiraat tujuh berserta perawi mereka. Ia juga merupakan sumber utama dalam pembelajaran ilmu qiraat tujuh. Namun, didapati beberapa institusi yang tidak menggunakan matan ini dalam pengajaran ilmu qiraat. Ini menyebabkan pembelajaran ilmu qiraat terbatas pada perkara-perkara asas sahaja. Bahkan, jarang sekali seseorang mampu menguasai ketujuh-tujuh qiraat tanpa mempelajari matan ini. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa pembelajaran menggunakan matan ini memang sukar dan mengambil masa yang lama sedangkan tempoh pembelajaran adalah terhad dan singkat. Mungkin disebabkan itu, mereka memilih untuk tidak menggunakan matan ini namun hanya sekadar memberikan penjelasan umum sahaja tentang perbezaan bacaan dalam kalangan imam-imam qiraat beserta perawi mereka tanpa menggunakan matan al-Shatibiyyah.10

10

Ibid, 65.

9

vi.

Kekurangan bahan bacaan dan rujukan ilmu qiraat Tidak dinafikan bahawa bahan bacaan dan rujukan untuk ilmu qiraat dalam Bahasa Melayu adalah amat terhad sekiranya dibandingkan dengan jumlah buku ilmu qiraat di dalam Bahasa Arab. Bahkan boleh dianggarkan bahawa jumlah buku khusus berkaitan ilmu qiraat dalam Bahasa Melayu tidak lebih daripada 10 buah buku yang diterbitkan. Kemungkinan ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh para pelajar iaitu dalam masalah mencari rujukan. Namun cabaran ini boleh ditangani dengan penguasaan Bahasa Arab dengan tujuan memahami isi kandungan ilmu qiraat daripada buku-buku Bahasa Arab. Begitu juga dengan merujuk kepada kertas-kertas kerja berkaitan ilmu qiraat yang pernah dibentangkan melalui seminar-seminar atau kursus-kursus qiraat. Antara rujukan yang boleh digunakan bagi tujuan pembelajaran ilmu qiraat menggunakan Bahasa Melayu adalah seperti berikut: •

Pengenalan Ilmu Qiraat karangan Ustaz Mohd Rahim Jusoh;



Dinamika Ilmu Qiraat Quraniyyah karangan bersama Ustaz Sabri Mohamad dan Ustaz Mohd Faizulamri Mohd Saad;



Jurnal Darul Quran yang dikeluarkan secara berkala;



Modul Qiraat daripada Open University Malaysia karangan bersama Ustaz Khairul Anuar Mohamad dan Ustaz Norakyairee Mohd Raus;



Keratan akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Bicara Agama setiap Rabu karangan Ustaz Khairul Anuar Mohamad; dan



Himpunan pembentangan kertas kerja seminar seperti Seminar Wahyu Asas Tamadun 2011 (USIM), Seminar Pendidikan dan Penyelidikan Qiraat (KUIS) dan Seminar Antarabangsa Qiraat dan Qurra’ (UDM).

vii.

Tempoh pembelajaran yang terhad Pembelajaran ilmu qiraat secara formal biasanya menggunakan sistem semester di mana tempoh pembelajaran adalah terhad kepada 14 minggu sahaja. Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan, kebiasaannya para pelajar diperuntukkan masa untuk mempelajari ilmu qiraat dalam tempoh tersebut selama 3 ke 4 jam seminggu. Dalam tempoh tersebut, pembelajaran akan

10

menyentuh dari sudut latar belakang ilmu qiraat, latar belakang imam-imam qiraat beserta perawi mereka, kaedah bacaan bagi setiap imam dan perawi mereka dan penumpuan terhadap beberapa surah yang tertentu sahaja. Adapun pembelajaran ilmu qiraat secara keseluruhannya tidaklah mencukupi disebabkan tempoh pembelajaran agak singkat. Oleh yang demikian, tempoh yang dinyatakan ini adalah sesuai bagi mereka yang berada dalam pengajian Islam tetapi bukan pengkhususan dalam bidang qiraat. Seandainya pengkhususan yang diceburi adalah dalam bidang qiraat, maka sekirangkurangnya 8 semester diperlukan untuk menguasai ilmu qiraat secara keseluruhannya.11

viii.

Minat yang kurang Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pelajar yang kurang berminat dengan ilmu qiraat. Ini kerana wujudnya perasaan bahawa ilmu qiraat tidak berkait secara langsung dengan kehidupan seharian seperti bidang feqah dan akidah. Namun, perasaan atau persepsi sedemikian adalah salah dan harus diperbetulkan. Ini kerana membaca al-Quran sama ada dalam solat atau di luar solat merupakan perkara yang berkait secara langsung dengan qiraat. Cuma, bacaan al-Quran yang dibaca adalah menurut salah satu riwayat daripada qiraat tujuh sahaja. Pada hakikatnya, ilmu qiraat walaupun secara zahirnya tidak berkait dengan amalan seharian, sebenarnya ia mempunyai hubungan yang kuat antara ilmu feqah dalam kepelbagaian mazhab, ilmu tafsir al-Quran yang membawa kepada pelbagai penafsiran dan sebagainya. Oleh itu, bagi menanam perasaan minat terhadap ilmu qiraat para pelajar boleh merujuk kepada kitab-kitab qiraat atau tafsir yang menerangkan makna-makna perubahan yang ada pada satu kalimah di dalam al-Quran dan apakah kesannya terhadap makna atau hukum fekah. Begitu juga dengan mendengar bacaan yang mempunyai perbezaan bacaan yang ketara dengan riwayat Hafs daripada Imam Asim seperti mendengar bacaan riwayat Warsh daripada Imam Nafi’ atau riwayat Khalaf daripada Imam Hamzah. Dengan kedua-dua cara

11

Ibid.

11

tersebut, ia mampu memupuk rasa minat untuk mempelajari ilmu qiraat dengan lebih mendalam.12

7.0

Kesimpulan

Perkembangan ilmu qiraat tidak seharusnya terbatas kepada para pelajar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi sahaja, bahkan ia seharusnya didedahkan kepada setiap lapisan masyarakat agar ilmu yang mulia ini terus dipelihara. Ini kerana kemuliaan orang yang mempelajari ilmu qiraat adalah sama dengan kemuliaan orang yang mempelajari al-Quran. Tambahan pula, kelebihan mereka yang mempelajari ilmu qiraat terserlah dengan peranan mereka sebagai pemelihara kalam Allah yang suci daripada apa jua bentuk perubahan dan pemesongan kerana hanya dengan ilmu qiraat perubahan itu dapat diketahui. Oleh yang demikian, menjadi harapan bagi setiap pencinta al-Quran agar;

i.

Pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat terus berkembang khususnya di negara ini. Malah ianya merupakan satu harapan yang besar agar Malaysia menjadi sebuah pusat rujukan bagi Asia dalam mempelopori kepakaran dalam bidang ilmu qiraat;

ii.

Lebih ramai lagi yang berminat untuk menceburi bidang qiraat. Biarpun hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah, namun peranannya adalah cukup besar. Ini jelas dibuktikan dengan pengorbanan para ulama terkemuka dahulu dan sekarang yang telah menghabiskan usia dan hayat mereka dengan mendalami ilmu qiraat serta mengajarkannya;

iii.

Lebih banyak lagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang turut mengambil peranan untuk menyebarluaskan ilmu ini sehingga melahirkan pakar-pakar qiraat di seluruh pelusuk tanah air;

iv.

Setiap pengajar ilmu qiraat mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan kaedah atau teknik pengajaran ilmu qiraat agar pembelajaran ilmu qiraat menjadi lebih menarik dan berkesan. Penggunaan teknologi terkini adalah

12

Ibid.

12

amat penting kerana fitrah manusia yang minat kepada perkara yang baru haruslah dimanfaatkan; v.

Lebih banyak buku-buku qiraat menggunakan Bahasa Melayu diterbitkan agar rakyat di negara ini dapat mengambil manfaat daripadanya. Selain itu, perlulah dihimpunkan kertas-kertas kerja berkaitan ilmu qiraat dan dibukukan agar ia juga boleh menjadi salah satu daripada bahan rujukan dalam mempelajari ilmu qiraat;

vi.

Memperbanyakkan lagi diskusi atau seminar atau kursus bagi mendedahkan keistimewaan dan kelebihan mempelajari ilmu qiraat. Kaedah ini boleh menarik lebih ramai golongan untuk mempelajari ilmu qiraat;

vii.

Memanjangkan lagi tempoh pembelajaran ilmu qiraat khususnya bagi mereka yang mendalami pengkhususan pengajian al-Quran atau qiraat. Ini bagi memberi tempoh yang cukup bagi mereka memahami selok belok ilmu qiraat dengan lebih mendalam; dan

viii.

Penggunaan audio, video dan software qiraat sebagai alat bantuan mengajar kepada pengajar dan pelajar amat digalakkan agar pembelajaran tidak hanya bergantung kepada keberadaan pensyarah semata-mata. Malah dengan adanya perkara-perkara tersebut, ia boleh melahirkan suasana pembelajaran secara kendiri sebagai persiapan sebelum memasuki kelas qiraat atau sebagai ulangkaji secara berkumpulan dan bersendirian.

Mudah-mudahan dengan adanya kesepakatan dan kerjasama daripada setiap pihak, pembelajaran ilmu qiraat akan menjadi lebih berkesan dan terus berkembang serta diwarisi kepada generasi yang akan datang. Teguran dan cadangan hendaklah sentiasa dikemukakan agar proses pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat terus maju ke tahap yang membanggakan.

13

Rujukan Ibn al-Jazari, Taqrib al-nashr fi al-qira’at al-Ashr, ed. Muhammad Ali Baidun, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2002).

Muhammad Hafiz, Comparative Study On The Science Of Qiraat In Higher Education Institutions In Malaysia, (MA Tesis, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 2010).

Rujukan Internet http://spikel.bpi.edu.my/index.php?view=article&catid=3%3Akurikulum&id=86%3Akel as-kemahiran-al-quran&format=pdf&option=com_content&Itemid=49

http://www.darulquran.gov.my/sejarah.html

http://phip.usim.edu.my/ms/perkhidmatan/program-pengajian/sepanjang-hayat/101talaqqi-al-quran.html

Rujukan Lain Temubual bersama beberapa para pensyarah yang mengajar pengajian ilmu qiraat di institusi pengajian tinggi awam di Malaysia seperti berikut; i.

Dr Sabri Mohamad (UKM)

ii.

Dr Abdul Rahman Abdul Ghani (UM, KUIS, UPSI)

iii.

Ustaz Ashraf Ismail (UKM)

iv.

Ustaz Muhammad Hafiz Saleh (USIM)

v.

Ustaz Abdul Muhaimin Ahmad (USIM)

vi.

Ustaz Norazman Alias (USIM)

14