mencontohi rasulullah saw: apakah kita sudah ... - Masjid Abidin

22 downloads 49 Views 922KB Size Report
3 Feb 2012 ... pengisian seperti pemilihan tokoh contoh sempena Maulidur Rasul ... 1) Membeli dan membaca buku berkaitan sirah / sejarah hidup Nabi ...
BIL. 7 / 03 Februari 2012 - 10 Rabi’ul Awwal 1433

MENCONTOHI RASULULLAH S.A.W: APAKAH KITA SUDAH BERUBAH ? Oleh: Ustaz Wan Mohd Hazim Bin Wan Mohd Hashim Pegawai Masjid (Imam iii), Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman Realiti Kehidupan Setiap kali menjelangnya bulan Rabi’ul Awwal, rata-rata umat Islam akan sibuk menyiapkan persiapan untuk menyambut ulang tahun kelahiran seorang makhluk Allah s.w.t yang amat agung iaitulah junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Berbagai-bagai persiapan telah dirancang bagi menyambut ulang tahun kelahiran baginda s.a.w ini. Bahkan, perancangan untuk sambutan ini telah pun bermula awal tahun lagi apabila menyusun kalendar program tahunan di jabatan kerajaan, swasta mahupun institusi pendidikan. Umum mengetahui, sambutan kelahiran baginda s.a.w pada hari ini di rancang dalam pelbagai versi program seperti perarakan, seminar, bengkel, wacana dan ceramah. Dari sudut pengisian program pula adanya penyampaian ceramah yang berkisar mengenai perjalanan kehidupan nabi s.a.w. Ada juga pengisian seperti pemilihan tokoh contoh sempena Maulidur Rasul s.a.w yang dikira boleh dijadikan role model di dalam masyarakat. Tidak kurang juga ada pengisian berbentuk pemilihan kumpulan perarakan terbaik dari segi keseragaman suara berselawat, kekemasan sepanduk serta pemilihan warna dan kesesuaian pakaian perarakan. Perubahan Atau “ Lupakan...” Daripada pelbagai versi gambaran sambutan ulang tahun kelahiran Nabi s.a.w yang dicoretkan sebentar tadi timbul satu persoalan kepada kita semua. Apakah sikap kita berubah setelah pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan kita, majikan-majikan kita, sekolah-sekolah kita dan masjidmasjid kita dalam mendidik diri kita menghayati seterusnya mengikut jejak langkah tauladan baginda Nabi Muhammad s.a.w? Persoalan di atas sengaja dilontarkan di ruang Makalah Dakwah ini, kerana melihat suasana kita apabila sebelum dan selepas menyambut ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w pada tiap-tiap tahun masih lagi tidak berlaku perubahan. Kualiti kerja kita di pejabat masih tidak berubah dari sudut penjagaan masa, urus tadbir kerja dan komunikasi dengan rakan sepejabat. Kualiti rumah tangga kita juga masih dalam kepincangan dari aspek penjagaan solat lima waktu anak isteri, pengawasan hubungan sosial anak-anak serta penyeliaan aurat anak-anak perempuan kita di luar rumah. Semua ini belum lagi berubah dalam kehidupan kita biarpun tahun sudahpun berubah, biarpun masa sudahpun berganjak, meskipun usia sudahpun merangkak. Seolah-olah perubahan yang sepatutnya berlaku hanya digantikan dengan slogan “ lupakan..”

MAKALAH DAKWAH

‫ﻣﻘﺎﻟــﺔ اﻟــﺪﻋﻮة‬

Kesedaran Sebelum Perubahan Pepatah arab ada menyatakan:

‫إذا أردت أن ﺗﻜﻮن ﻓﺘﻜﻮن وﻟﻜﻦ ﺑﻘﺪر ﻣﺎ ﺗﻌﻤﻞ ﻻ ﺑﻘﺪر ﻣﺎ ﺗﺮﻳﺪ‬ Maksudnya: “ Jika kamu hendak berubah, kamu boleh berubah. Akan tetapi perubahan kamu adalah berdasarkan apa yang kamu usahakan bukan berdasarkan apa yang kamu mahukan.” Daripada pepatah di atas, jelas di sini bahawa untuk berubah kita perlu ada usaha daripada diri kita sendiri bukan daripada usaha orang lain. Ini kerana orang di sekeliling hanya mampu memberi semangat dan dorongan sahaja akan tetapi kesedaran untuk bertindak adalah daripada diri kita. Pepatah di atas juga menjelaskan kepada kita bahawa sekadar mana tindakan kita sekadar itulah sahaja perubahan yang kita dapat. Oleh kerana itulah kita melihat orang yang rajin mencari peluang kerja akan mendapat untung berlipat kali ganda berbanding orang yang hanya duduk menunggu satu peluang kerja sahaja. Pokok pangkalnya di sini adalah berpunca daripada kesedaran. Kesedaran yang tinggi akan melahirkan tindakan yang berintegriti seterusnya memberi kesan perubahan yang amat berkualiti. Di waktu itu, barulah selayaknya kita dikatakan mencontohi akhlak dan peribadi Nabi Muhammad s.a.w penghulu sekalian nabi. Atur Langkah Menuju Perubahan Jika kita menginginkan satu perubahan berlaku dalam diari kehidupan kita, maka bertindaklah segera pada hari ini. Jangan ditunggu kawan sepejabat yang selalu menggangu konsentrasi, jangan hanya ditumpukan dahulu anak-anak membesar sampai ke universiti dan jangan pula menanti saat rumah kata pergi kubur kata mari. Oleh itu, kitalah yang perlu mengatur dan mencaturkan perjalanan hidup kita sendiri supaya selaras dengan ajaran yang dibawa oleh baginda s.a.w. Di sini dicadangkan beberapa langkah untuk membantu kita menuju perubahan. 1)

Membeli dan membaca buku berkaitan sirah / sejarah hidup Nabi Muhammad s.aw. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada langsung buku berkaitan sirah / sejarah hidup Nabi Muhammad s.aw di rumah kita sendiri.

2) Mencari kelas pengajian sirah / sejarah hidup Nabi Muhammad s.aw. Sejarah serta perjalanan hidup Nabi s.a.w perlu kita pelajari daripada para alim ulama tidak cukup dengan mendengar ceramah yang hanya sekali atau dua tiga kali setahun. Ini kerana daripada belajar akan timbul rasa sedar seterusnya melakukan perubahan yang wajar. 3) Memastikan amalan-amalan wajib dan sunat yang sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar muslim dibuat secara berterusan. Amalan inilah sebenarnya yang membezakan kita orang Islam dan bukan Islam dari sudut berkekalannya perubahan yang dilakukan. Amalan yang berterusan akan membuahkan hasil perubahan yang diidam-idam..InsyaAllah.

MAKLUMAN! Makalah Dakwah adalah suatu penulisan ringkas berbentuk ilmiah yang diterbitkan dua minggu sekali di bawah Unit Dakwah & Informasi, Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman. Makalah Dakwah boleh didapati pada setiap hari Jumaat minggu pertama dan ketiga setiap bulan mengikut kalendar Masehi di dewan solat muslimin dan muslimat. Sebarang teguran daripada muslimin dan muslimat amatlah dialu-alukan bagi menambah baik pengurusan pengimarahan masjid.

Terbitan : Unit Dakwah & Informasi, Masjid Abidin (Masjid Negeri), Terengganu Darul Iman